Shah Alam: “Siapa suruh korang buka sampai malam,” itulah kata-kata sekumpulan penyamun bersenjatakan parang apabila mereka dipercayai tersalah sasaran dalam satu kejadian samun bersenjata di Taman TTDI Jaya, di sini, malam kelmarin.
Dalam kejadian jam 9 malam itu, enam lelaki bersenjatakan parang menaiki tiga motosikal berhenti di depan sebuah bengkel membaiki kereta sebelum dua daripada mereka mengacu parang ke leher pekerja bengkel berkenaan sebelum melarikan wang tunai RM5,000.
Difahamkan, semua lelaki terbabit warga tempatan dan mereka juga didapati menggunakan motosikal tanpa nombor pendaftaran selain tidak menyalakan lampu belakang.
Mangsa yang juga pekerja bengkel Ahmad Shukri Hamzah, 23, berkata, ketika kejadian, dia bersama seorang lagi rakan sedang membaiki kereta di belakang bengkel dan pada mulanya dia hendak mengambil spanar di bahagian hadapan bengkel, sejurus melangkah keluar lehernya terus diacukan parang.
“Saya hanya mampu berdoa dalam hati apabila melihat parang di leher, siapa yang tak terkejut lain yang hendak dibuat lain yang jadi. Pada mulanya seorang daripada lelaki berkenaan bertanyakan kepada saya siapa yang ada di dalam bengkel sebelum bertanyakan identiti saya.
“Sebaik mengacu parang di leher, mereka terus meminta saya mengeluarkan semua wang dan menyeluk poket seluar, sebelum menolak saya masuk ke dalam pejabat dan mengacu parang ke arah bos saya yang ketika itu sedang berbaring, takut dicederakan, bos saya terus menyerahkan semua wang,” katanya ketika ditemui, semalam.
Ahmad Shukri berkata, ini kejadian pertama yang berlaku sejak beroperasi tujuh tahun lalu dan selain wang tunai, lelaki itu turut mengambil beg pinggang milik majikannya yang mengandungi dokumen peribadi, kad bank, pemacu cakera serta telefon bimbit.
“Kami jarang beroperasi sampai malam, kebiasaannya jam 6 atau 7 malam sudah tutup, tetapi pada hari kejadian ada kereta perlu disiapkan dan tidak sangka perkara buruk akan terjadi.
“Mungkin itu rezeki mereka, kerana petang semalam (kelmarin) bos saya baru dapat bayaran daripada pelanggan dan kalau bos cepat lima minit ke bank, mungkin tak banyak mereka dapat,” katanya. - Mymetro
0 comments:
Post a Comment