Thursday 3 October 2013

Hari pertama KL Gangster 2 kutip RM200,000

SHAH ALAM -  Filem KL Gangster 2 yang sempat dipalit kontroversi sebelum penayangannya dikhabarkan mendapat sambutan yang memberangsangkan daripada segi hasil kutipan pada hari pertama tayangan, malam tadi.

Tayangan pertama yang bermula malam tadi berjaya mengutip RM200,000 dan tiga hari tayangan awal pada 27 hingga 29 September lalu berjaya mengumpul RM500,000.

Filem yang menelan kos RM4.4 juta itu mendapat perhatian umum apabila filem tersebut tersebar di laman internet sebelum ditayangkan di pawagam.

Penerbitnya, Datuk Yusof Haslam yang juga bapa kepada Syamsul akui yakin filem tersebut tetap mendapat tempat di hati penonton meskipun menjadi mangsa sabotaj.

“Berdasarkan kepada kutipan itu, saya percaya filem ini mampu menarik perhatian orang ramai terutama sekali kepada mereka yang menantikan hasil karya arahan anak saya, Syamsul,” katanya dipetik mStar Online, hari ini.

Filem berkenaan sepatutnya ditayangkan pada Khamis tetapi telah mendapat hak tayangan lebih awal untuk tiga hari bermula 27 hingga 29 September lalu sebagai sokongan terhadap karya tersebut yang telah dicetak rompak.

Kebanyakan panggung menunjukkan jumlah penonton yang ramai sekali gus melegakan hatinya selepas bimbang karya itu tidak mendapat sambutan.

“Alhamdulillah. Saya dapat lihat momentum yang baik terhadap filem ini walaupun karya saya sudah dicetak rompak,” katanya.

Ketika ditanya tentang keadaan Syamsul, beliau akui Syamsul masih tidak dapat menerima karyanya disabotaj.
Katanya, Syamsul juga tidak mahu diganggu sebaliknya mengambil pendekatan untuk menyendiri kerana dia amat kesal dengan peristiwa berkenaan.

“Saya mahu anak saya terus berjuang untuk menghasilkan filem-filem lebih hebat selepas ini dan berharap kejadian yang berlaku bukanlah alasan untuk dia patah semangat,” katanya. - SH


0 comments:

Post a Comment

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Free Web Hosting