Dengan gaya biasa beliau, perdana menteri paling lama berkhidmat itu turut menyerang pemimpin pembangkang lain seperti Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, sambil mengatakan pilihan raya umum ke 13 juga adalah medan untuk mengakhiri karier politik menteri besar Kelantan itu.
“Sekarang ni Lim Kit Siang nak datang ke Johor, mudahlah, boleh menang bila-bila jam. Orang Johor mesti ganyang dia habis-habis ... biar itu jadi hari terakhir dia dalam bidang politik,” kata Dr Mahathir dihadapan ribuan orang di projek perumahan rakyat anjuran Umno Pulai di luar Hospital Pulai di sini.
Kedatangan beliau di sini selepas ceramah Pekatan Rakyat (PR) hampir setiap malam dan yakin akan menang beberapa kerusi parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri kelahiran Umno itu.
Bekas presiden Umno dan pengerusi BN itu mengkhususkan kepada Kit Siang, musuh politiknya semenjak beliau masih perdana menteri bermula 1982, sehingga bersara pada 2003.
“Kalau dia nak bertanding di Penang, Melaka kita faham, tapi nak serang kubu Umno di Johor ini perbuatan bodoh, tak masuk akal,” Dr Mahathir memperlekehkan Lim, pemimpin veteran DAP yang merupakan anak kelahiran Johor.
Beliau mengatakan pemimpin DAP itu seharusnya memikirkan persaraannya oleh kerana sudah lama berada dalam politik dan partinya sering bercakap soal perubahan.
“Pasal dia dah lama sangat ... dia nak bawa perubahan, nak change, dialah sendiri patut change, dia jadi pemimpin semasa saya wakil rakyat.
Dari 1964 hingga 2013 tidak tukar-tukar lagi, BN dah tukar berapa kali dah, dia tak bergerak.
“Change (perubahan) apa?" soal Dr Mahathir dalam majlis anjuran Ketua Umno Pulai Datuk Nur Jazlan Mohamed.
Turut hadir dalam majlis itu adalah Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan ahli parlimen Kota Tinggi Tan Sri Syed Hamid Albar.
Bekas perdana menteri itu juga pernah memecat Anwar yang juga bekas timbalannya dalam Umno dan kerajaan sehingga 1998. Anwar dipenjarakan kerana pertuduhan liwat dan rasuah dan dibebaskan selepas Dr Mahathir bersara.
Beliau membritahu hadirin pemimpin pembangkang itu akan “menjual Malaysia” selepas menawan Putrajaya dalam pilihan raya umum.
“Nauzubillah, kalau dia jadi PM, dia jual negara kita. Inilah manusia yang kononnya bersetuju supaya Israel berhak untuk mempertahankan keselamatan Israel,” katanya merujuk kepada wawancara Anwar dengan akhbar Wall Street Journal.
“Nak tukar kerajaan, pilih kerajaan tak susah, kita negara demokratik.
Tetapi kita kena bijak dengan kita mengundi, jangan pilih orang gila-gila nak jadi PM.
“Video YouTube ... Saya tak tengok, orang cerita, orang macam tu kalau jadi PM, budak pejabat pun dia angkut, matilah,” kata Dr Mahathir merujuk kepada pertuduhan liwat kedua dimana Anwar dibebaskan tahun lepas.
“Tapi saya tahu orang Johor tak akan bagi peluang. Dia tahu dia nak kalah, sekarang dia dah rancang nak cetuskan huru-hara kalau kalah. Kalau kalah dia kata kotor lah, kalau menang dia bersih,” tambah beliau.
Beliau juga mengatakan perhimpunan pergerakkan reformasi pilihan raya Bersih sebanyak tiga kali adalah bukti dikemukakan pembangkang bahawa pilihan raya tidak adil dan mereka memerlukan pemantau antarabangsa dalam Pilihan Raya 2013.
“Mereka boleh menang kalau orang suka, kalau orang tak suka bukan salah kerajaan,” kata pemimpin veteran itu.
Bekas perdana menteri itu telah aktif berkempen untuk BN menjelang pilihan raya umum selepas tidak membantu gabungan pemerintah itu dalam Pilihan Raya 2008 dimana beliau turut meninggalkan Umno kerana membantah pentadbiran penggantinya Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Ketegangan antara dua pemimpin itu menjejaskan BN yang hilang majoriti tradisi dua pertiga mereka dan empat negeri dalam pilihan raya umum 2008.
Akan tetapi Dr Mahathir kini menyokong usaha Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk mendapatkan semula majoriti tradisi di parlimen dan negeri yang hilang pada 2008. - TMI
Bukti Umno-BN terdesak dan tahu akan kalah teruk, lelaki tua yang bersara pun terpaksa membantu berkempen.
0 comments:
Post a Comment