KUALA LUMPUR, 24 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini percaya pasaran luar sedang menunggu kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mendapat mandat baharu daripada rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-13 ini, yang akan menentukan keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini.
Katanya beliau yakin sekiranya kerajaan BN diberi mandat yang kukuh, pasaran saham di negara ini juga akan melonjak.
"Saya yakin dan percaya kalau mandat itu menyebabkan kerajaan baharu yang kuat, saya percaya pada pasaran saham negara akan melonjak selepas berita kemenangan besar kepada BN (diumumkan)," katanya selepas menghadiri sambutan Chap Goh Meh anjuran BN Selangor di Sekolah Kebangsaan Pandan Indah di sini hari Ahad.
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar dan Anggota Parlimen Pandan Datuk Seri Ong Tee Keat.
Keyakinan itu, kata Najib, berdasarkan pandangan beberapa penganalisis ekonomi bahawa keyakinan pelabur akan melonjak sekiranya BN 'menang besar' pada pilihan raya kali ini.
"Di kalangan para penganalisis, mereka kata kalau BN menang besar, keyakinan pelabur akan melonjak. Ini mereka kata, bukan saya kata. (Jika analisis ini benar) ia akan membawa seribu rahmat," katanya.
Najib berkata kejayaan ekonomi negara mencatatkan kadar pertumbuhan 6.4 peratus bagi suku terakhir tahun lepas juga menunjukkan dasar transformasi nasional yang dibawa kerajaan BN benar-benar berjaya.
Malah katanya kini dapat dilihat bahawa pengiktifaran dunia terhadap Malaysia juga semakin meningkat.
Bank Negara pada Khamis berkata ekonomi Malaysia berkembang 5.6 peratus tahun lepas berbanding 5.1 peratus pada 2011.
Bank pusat itu berkata meskipun persekitaran ekonomi global yang mencabar, ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan lebih tinggi sebanyak 6.4 peratus pada suku keempat tahun lepas. - BERNAMA
Jika benar mengapa takut adakan pilihanraya?
0 comments:
Post a Comment