Sunday 29 September 2013

Tanda Putera rugi RM3.77j

Tayangan filem kontroversi 'Tanda Putera' tamat di pawagam awal minggu ini dengan jumlah kerugian dianggarkan sekitar RM3.77 juta.
Filem yang dihasilkan dengan kos RM4.7 juta itu hanya menarik kutipan RM930,000 selepas 25 hari di pawagam, menurut laman Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Satu lagi filem yang turut mula ditayangkan pada 29 Ogos, 'KL Zombie' berjaya mengutip sejumlah RM2.93 juta dalam tempoh sama.

'KL Zombie' dihasilkan dengan kos RM1.8 juta, kurang daripada separuh kos produksi 'Tanda Putera' dan masih ditayangkan di pawagam.

'Tanda Putera' yang merakam persahabatan di antara perdan menteri waktu itu Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya Tun Ismail Abdul Rahman dalam latar peristiwa 13 Mei 1969 itu dikritik kerana memaparkan perisitiwa sejarah dengan tidak jujur.

Filem tersebut tetap mengalami kerugian walau dipromosi oleh kumpulan pendesak nasionalis, yang turut menggesa akan filem berkenaan diwajibkan tayangan di sekolah dan universiti.

Filem oleh Persona Pictures Sdn Bhd dihasilkan dengan geran RM4.2 juta dari Finas.

Menurut laman 'Tanda Putera' di Facebook, filem berkenaan akan ditayangkan di luar pawagam melalui tempahan khas, yang dijangka akan memberi tambahan kutipan RM570,000. - Malaysiakini

Tidak hairan kerana penduduk muda dan bandar majoriti tolak Umno-BN.

Friday 27 September 2013

Maut ditembak dalam kereta

K. Ahnand maut selepas ditembak dalam keretanya di Jalan Teratai 32, Taman Johor Jaya, Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU 27 Sept. - Seorang lelaki maut selepas ditembak ketika berada dalam keretanya di Jalan Teratai 32, Taman Johor Jaya di sini malam tadi.


Dalam kejadian pukul 8.25 malam itu, mangsa, K. Ahnand, 24, mati di tempat kejadian akibat cedera parah selepas terkena empat das tembakan di badan.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Supritendan Roslan Zainuddin berkata, mayat mangsa yang berlumuran darah ditemui di dalam kereta jenis Proton Perdana.
"Motif mangsa ditembak mati masih disiasat dan kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
"Orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai sebarang maklumat tentang insiden itu diminta menghubungi mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Sementara itu, sumber memberitahu, mangsa dipercayai terkena empat das tembakan berdasarkan kesan luka dan kelongsong peluru yang dijumpai di tempat kejadian.
Katanya, terdapat dua kelongsong peluru jenis 9 milimeter (mm) dan masing-masing satu jenis Thai Arms dan WCC ditemui.
Difahamkan, kereta Proton Persona dipandu mangsa didaftarkan atas mana seorang lelaki India berusia 30 tahun dari Butterworth, Pulau Pinang. Utusan

Histeria: Mangsa nampak makhluk berbulu

KUANTAN - Mangsa histeria kelmarin, Norsyafikah Saifulizan, 13, mengakui nampak dua makhluk berbulu di makmal sekolah dan di bilik air sebelum ini.


Bagaimanapun, dia hanya memaklumkan kepada guru dan tidak kisah dengan dua makhluk yang ditemui di makmal sains itu dan meneruskan pelajaran seperti biasa.

“Memang ada nampak makhluk berbulu tapi saya buat tak kisah. Masa tu saya berjalan ke  arah bilik disiplin,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.

Norsyafikah yang juga pengawas sekolah berkata, sebelum ini, ada rakan yang mengadu melihat makhluk berkenaan di kawasan sekolah tetapi mereka tidak kisah sehingga ada gangguan kelmarin.

Katanya, selepas kejadian itu, badannya rasa panas dan fikiran buntu namun mujur ibu dan bapanya memahami dan memberi semangat selepas memaklumkan perkara itu.

“Saya mengadu pada mak dan ayah dan mereka memberi kata-kata semangat dan benarkan saya pergi ke sekolah seperti biasa,” katanya yang kini sukar tidur malam.

Norsyafikah adalah antara 70 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira yang menjadi mangsa histeria kira-kira jam 1 petang kelmarin.

Pelajar lelaki dan perempuan dilihat meracau dan berlari bertempiaran di sekeliling bangunan sehingga menyukarkan guru menenteramkan mereka tetapi keadaan kembali tenang selepas perubatan Islam dilakukan seorang
pengamal perubatan.

Sementara itu, bapa Norsyafikah, Saifulizan Abdullah, 38, tidak menghalang dua anaknya meneruskan persekolahan seperti biasa walaupun bimbang dengan keselamatan mereka.

Menurutnya, dia juga tidak membawa Norsyafikah dan kakaknya, Emy Syazana berjumpa dengan pengamal perubatan tradisional kerana memberi kepercayaan kepada pihak sekolah menguruskan masalah itu.

“Walaupun ada ibu bapa yang bertindak tidak membenarkan anak mereka ke sekolah tapi kami memberi sepenuh kepercayaan kepada pihak sekolah untuk mengatasi masalah ini,” katanya.

Namun, katanya, sebagai bapa kepada mangsa serangan histeria, Saifullizan mahu pihak sekolah memberi maklumat tepat dari semasa ke semasa kepada ibu bapa atau penjaga mengenai keadaan keselamatan selepas peristiwa itu.

Katanya, sehingga kini tiada lagi perkembangan terkini yang dimaklumkan kepada ibu bapa selain menerima surat kebenaran menjalankan rawatan di sekolah.

“Saya anggap perkara ini serius apabila ada pelajar yang mengadu mendengar bisikan yang boleh membahayakan mereka.

"Jadi saya harap ada kerjasama antara guru dan penjaga,” katanya. - Mymetro

---------------------------------------------------------------------------------------------------------

Pelajar cedera parah jatuh bangunan - 4 September 2013

KUANTAN - Seorang pelajar perempuan tingkatan satu Sekolah Menengah Kebangsaan Tok Sira di sini parah selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolah itu, tengah hari, semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan Superintendan Abdul Aziz Ahmad berkata, polis menerima maklumat berhubung kejadian kira-kira jam 12.45 tengah hari.

Menurutnya, mangsa yang berusia 13 tahun patah di kedua-dua pergelangan kaki dan tangannya kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

“Mangsa dibawa ke hospital oleh pasukan Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) yang tiba kira-kira 10 minit selepas dihubungi.

“Siasatan awal mendapati pelajar terbabit cuba untuk terjun bangunan itu berdasarkan nota tulisan tangan yang ditulis di tapak tangan kirinya.

”Bagaimanapun polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung motif kejadian pelajar terbabit bertindak sedemikian,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

Abdul Aziz berkata, pelajar terbabit dalam keadaan stabil namun polis kini memantau keadaannya dan akan mengambil keterangan selepas keadaan kesihatannya mengizinkan.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, punca remaja itu berbuat demikian masih disiasat dan pihak pengurusan sekolah sudah membuat laporan polis berhubung kejadian tersebut.

Pada 23 Mei lalu, seorang pelajar tingkatan tiga sekolah yang sama maut selepas terjatuh dari tingkat tiga.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu, mangsa, Syamil Ismail, 15 mengalami cedera parah akibat hentakan kuat  dan disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan. - SH

Pelajar cemerlang maut terjun bangunan

Kuantan –  Pelajar tingkatan tiga yang terjatuh dari tingkat tiga bangunan sekolahnya pagi semalam, disifatkan sebagai pelajar cemerlang dan antara menjadi harapan untuk memperoleh keputusan 8A dalam peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun ini.

Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, mangsa, Syamil Ismail, 15, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira dikatakan terjatuh dari bangunan Blok B sekolahnya ketika dalam perjalanan ke dewan di tingkat satu bangunan sama.

Menurut sumber yang juga kakitangan sekolah berkenaan, mangsa adalah pelajar yang tidak pernah menimbulkan masalah di sekolah dan sentiasa fokus ketika berada di dalam kelas.

“Kehilangannya begitu terasa kerana arwah pelajar yang baik dan tersenarai sebagai pelajar harapan untuk mendapat keputusan cemerlang dalam PMR.
“Sepanjang bersekolah di sini, dia sering mencatatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan dan menjadi kebanggaan sekolah,” katanya.

Anak ketiga daripada empat beradik itu terjatuh di atas rumput dalam keadaan tertiarap di hadapan tandas pelajar perempuan Blok B sekolah berkenaan.

Ketua Polis Daerah Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mangsa dibawa ke Unit Kecemasan, Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) sejurus kejadian namun disahkan meninggal dunia jam 11.50 pagi.

“Siasatan awal mendapati mangsa berjalan bersama rakan sekelas menuju ke dewan sekolah di tingkat satu namun tiba-tiba dia berlari dan cuba terjun, tetapi berjaya dihalang rakannya.
“Bagaimanapun mangsa berjaya melepaskan diri daripada pegangan rakannya dan terjatuh dari tingkat tiga bangunan itu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, pihak sekolah kemudian bertindak menghubungi ibu bapa mangsa sebelum pelajar berkenaan dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut.
“Mangsa meninggal dunia akibat hentakan yang kuat selepas terjatuh dari tingkat tiga bangunan dan jenazah diserahkan kepada keluarganya,” katanya. – METRO

Sekolah bahaya. Mengapa Jabatan Pelajaran Pahang benar terus beroperasi?

Suara ghaib suruh pelajar terjun bangunan

DUA pelajar SMK Tok Sira terbaring selepas diserang histeria.
Kuantan: “Saya terkejut apabila keadaan sekolah tiba-tiba kecoh dan beberapa pelajar bertempiaran lari sambil menjerit-jerit sehingga menakutkan pelajar lain,” kata seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tok Sira, di sini, menceritakan kejadian 70 pelajar diserang histeria petang semalam.

Menurut pelajar itu yang enggan namanya disiarkan, melihat keadaan tidak terkawal, seorang guru melaungkan azan, namun pelajar menjadi lebih agresif dan marah sambil mengeluarkan perkataan yang sukar difahami.

Dia berkata, dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, beberapa guru menangkap pelajar yang histeria dan menempatkan mereka dalam makmal komputer untuk mengelak kejadian tidak diingini.

“Kakak saya turut histeria dan saya melihat dia terbaring sambil meracau-racau. Apabila saya memanggilnya, dia mempamerkan wajah bengis.

“Bagaimanapun keadaan reda selepas pihak sekolah memanggil seorang ustaz bagi memulihkan mereka, namun saya tetap bimbang keadaan ini berulang,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Bapa seorang mangsa, Saifullizan Abdullah, 38, berkata, kejadian histeria di sekolah itu cukup membimbangkan kerana ada yang mendakwa ketika dirasuk, mendengar bisikan menyuruh mereka terjun dari bangunan.

Dalam kejadian semalam, dua anaknya, Emy Syazana, 16, dan Norsyafikah, 13, mengalami histeria dan dia terus ke sekolah selepas dimaklumkan.

“Saya difahamkan kejadian histeria ini sudah beberapa kali berlaku sebelum ini,” katanya.

“Lebih membimbangkan apabila dirasuk, ada pelajar mendakwa mendengar bisikan menyuruh mereka terjun dari bangunan sekolah,” katanya.

Sekolah berkenaan pernah merekodkan kejadian dua pelajar terjun dari bangunan pada Mei dan awal bulan lalu dengan seorang daripadanya maut manakala seorang lagi masih koma di Hospital Tengku Ampuan Afzan.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan negeri Rosdi Ismail ketika dihubungi berkata, pihaknya sedang menunggu laporan kejadian itu daripada pihak sekolah sebelum sebarang tindakan diambil. - Mymetro

Rotan di mahkamah

Ampang: Tiga pesalah muda yang mengaku bersalah melakukan rompakan berkumpulan tahun lalu, akur dan kelihatan bersahaja apabila dikenakan sebatan ringan sebanyak dua kali setiap seorang di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

 
Pelaksanaan hukuman sebat itu dibuat pegawai Penjara Kajang menggunakan rotan di hadapan Hakim Manira Mohd Nor sambil disaksikan ahli keluarga ketiga-tiga mereka dari galeri awam mahkamah.

Jurulatih peribadi, Firman Shah Marzuki, 21, Mohammad Talip Abd Kadir, 20, dan Hazmirul Zulkafli, 19, yang masing-masing adalah mekanik didakwa bersama seorang lagi Mohd Ramdan Mohd Ali melakukan rompak berkumpulan dengan menggunakan pisau ke atas Yeo Chai Nee, 30, sehingga mangsa mengalami kerugian yang dianggarkan RM1,200.

Tuduhan bagi perbuatan yang dilakukan di Jalan AG 1/4 Astana, Gombak, dekat sini, jam 4.30 pagi, 17 Mei 2012 itu dibuat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Beberapa minggu lalu, keempat-empat mereka mengaku bersalah dan hakim memberikan Firman Shah bon jaminan berkelakuan baik selama dua tahun dengan cagaran RM5,000, manakala Mohammad Talip dan Hazmirul diberikan bon jaminan berkelakuan baik selama 12 bulan, juga dengan cagaran RM5,000.

Ketiga-tiga mereka turut dikenakan hukuman sebatan ringan dua kali mengikut Seksyen 2(1)(c) Kanun Tatacara Jenayah.
Bagaimanapun, Mohd Ramdan yang berusia 24 tahun dan bukan pesalah muda, kini terpaksa menjalani hukuman penjara empat tahun selain dikenakan sebatan sebanyak empat kali.

Semalam, ditetapkan untuk pelaksanaan hukuman sebatan terhadap tiga pesalah muda itu dan sebelum sebatan dibuat, hakim mengarahkan doktor perubatan dari Penjara Kajang memeriksa tahap kesihatan ketiga-tiga mereka.
Selepas mereka disahkan sihat, proses sebatan dimulakan terhadap Hazmirul dan disusuli oleh Firman Shah serta Mohammad Talip sambil disaksikan ibu bapa dan ahli keluarga yang diminta berdiri di belakang mereka.

Manira kemudian sempat menasihati ketiga-tiga pesalah muda itu supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama lagi dan perlu memilih kawan yang betul.

“Mahkamah harap keluarga dapat sentiasa memantau aktiviti anak masing-masing,” katanya. - Mymetro

Shafee Terima Gelaran Tan Sri Daripada Agong

KUALA LUMPUR: Peguam terkenal Tan Sri Dr Muhammad Shafee Abdullah dianugerahkan gelaran Tan Sri bersama enam yang lain di Istana Negara.
Selain Dr Muhammad Shafee, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarop turut dikurniakan gelaran Tan Si.

Mereka mendahului senarai 174 penerima anugerah dan pingat kebesaran daripada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah at Istana Negara di sini.
Mereka menerima pingat Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran “Tan Sri”, bersempena dengan sambutan hari keputeraan Yang di-Pertuan Agong Jun lalu.

Seramai tujuh penerima menerima darjah kebesaran berkenaan termasuk Dr Muhammad Shafee.
Selain Ahmad dan Dr Muhammad Shafee, dua individu lain yang turut menerima anugerah berkenaan ialah Penasihat Khas Agama kepada Perdana Menteri, Tan Sri Professor Dr Abdullah Md Zin; Penasihat Perdana Menteri Tan Sri Othman Abd Razak; Ketua Pegawai Eksekutif ABN Media Group, Tan Sri Ketheeswaran Kanagaratnam; Pengarah Landmarks Berhad Tan Sri Zakaria Abdul Hamid; dan Presiden Kumpulan dan Ketua Sapura Group, Tan Sri Shahril Shamsuddin.

Turut hadir pada majlis berkenaan Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah. — BERNAMA

Enam Pengarah Genneva Malaysia Hadapi 900 Tuduhan di bawah Akta Penggubahan Wang Haram

KUALA LUMPUR: Enam pengarah syarikat pelaburahn emas, Genneva Malaysia Sdn Bhd berhadapan dengan lebih daripada 900 tuduhan di bawah Akta Penggubahan Wang Haram melibatkan wang berjumlah RM5. 5 bilion daripada 35,000 pendeposit di Mahkamah Sesyen di sini.

Pengarah Genneva Malaysia Sdn Bhd Datuk Philip Lim Jit Meng dan Datuk Tan Liang Keat menghadapi 246 dan 226 tuduhan masing-masing melibatkan penggubahan wang haram, penasihat bisnes, Datuk Ng Poh Weng (157), Datuk Marcus Yee Yuean Seng (17), Datuk Chin Wai Leong (23), dan Pengurus Kanan, Lim Kah Heng (16).

Keenam-enam tertuduh mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.
Syarikat berkenaan, turut berhadapan dengan 222 tuduhan melibatkan penggubahan wang haram sementara Success Attitude Sdn Bhd,berhadapan dengan lapan tuduhan yang sama.

Empat daripada mereka, Philip Lim, Tan, Lim Hah Heng dan Ng, juga didakwa atas dua tuduhan setiap seorang kerana menerima deposit tanpa lesen yang sah melalui skim pelaburan emas di bawah Akta Perbankan dan Institusi Kewangan 1989.

Terdahulu, Philip Lim dan Tan mengaku tidak bersalah di satu lagi Mahkamah Sesyen atas dakwaan membuat kenyataan palsu dalam iklan di laman web syarikat mereka yang menyatakan perniagaan emas yang dijalankan oleh mereka mengikut undang-undang Syariah.

Genneva Malaysia Sdn Bhd turut berhadapan dengan tuduhan yang sama. Tarikh sebutan kes ditetapkan pada 28 Oktober depan. Kedua-dua tertuduh dibenarkan ikat jamin, RM20,000 setiap seorang. - Mstar


Thursday 26 September 2013

Silap tulis ‘Tahniah’ kepada keluarga Azizan, Astro Awani mohon maaf

Susulan kesilapan ejaan ucapan takziah Tan Sri Muhyiddin Yassin kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul Razak, stesen televisyen Astro Awani terpaksa membuat permohonan maaf secara terbuka. 

Astro Awani dilaporkan membuat kesilapan itu pada info laporan berita itu petang semalam hingga menyebabkan kekeliruan.
Dalam beritanya petang semalam, info berita Awani menulis; "Muhyiddin ucap tahniah kepada keluarga Azizan."

Ekoran itu, gambar mengenai berita itu menjadi hangat dalam media sosial khasnya Facebook.
Pelbagai pihak berkongsi mengenainya dan mengutuk stesen televisyen itu.

"Kami ingin memohon maaf kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan keluarga Allahyarham Tan Sri Azizan Abdul berhubung info laporan petang tadi.

"Kekeliruan berlaku akibat kesilapan taip itu amat kami kesali, sekali lagi kami meminta maaf," dipetik daripada berita Awani.
Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Razak kembali kerahmatullah pagi semalam.

Jenazah allahyarham selamat disemadikan bersebelahan dengan jenazah allahyarham Datuk Fadzil Noor, bekas Presiden PAS di Muassasah Darul Ulum, Pokok Sena, Kedah selepas solat Asar petang semalam.
Pelbagai pihak memenuhi kawasan itu termasuk Yang Dipertuan Agong yang turut menziarahi jenazahnya. – 27 September, 2013.

Kepimpinan ulama dan Unit Amal dari Iran, kata Mat Sabu

Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu (gambar) menegaskan untuk kesekian kalinya beliau bukan Syiah tetapi hanya membawa nilai-nilai baik dari Iran untuk diamalkan di negara ini.

Mohamad berkata, beliau dan rakan-rakannya yang membawa konsep kepimpinan ulama, Unit Amal bahkan lagu Unit Amal dari Iran ke dalam PAS.

"Adakah kesemua mereka menjadi Syiah kerana saya membawanya dari Iran. Sudah tentu tidak," katanya dalam wawancara khasnya dengan The Malaysian Insider sambil bercerita, kurma dari Iran pun dilarang makan kerana takut dituduh Syiah.

Katanya, setiap dua tahun sekali iaitu menjelang muktamar yang ada pemilihan dalam PAS, isu Syiah akan bergema. Kali ini bukan di kalangan PAS sahaja, isu ini juga dimainkan juga oleh pemimpin kerajaan, agensinya dan media yang dikawal mereka.

Mohamad yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menjadi salah satu sasaran mereka apabila isu ini dimainkan.
Isu Syiah menjadi sangat hangat apabila perang saudara meletus di Syria dan Iran serta Hizbollah (gerakan Islam di Lubnan) menyokong kerajaan Syria pimpinan Bashar Al-Assad.

Mohamad diserang apabila beliau melawat negara tersebut ketika meletusnya perang saudara di sana. "Sebenarnya perang di sana adalah agenda perebutan kuasa dan tidak ada kaitan dengan perang antara Sunnah dengan Syiah sebagaimana yang digembar-gemburkan.

"Presiden PAS, Hadi Awang telah menjelaskan perkara ini," katanya kesal dengan apa yang berlaku.
Mohamad menceritakan kembali bagaimana beliau boleh tertarik dengan perjuangan Islam di Iran yang dipimpin oleh Ayatullah Khomeine.

"Semasa saya belajar di ITM dulu, awal 1970-an, kampus ketika itu dipengaruhi oleh Abim dan PKPIM. Idola kami adalah gerakan Ikhwanul Muslimin di Mesir pimpinan Hassan Al-Banna dan Syed Qutb.

"Apabila dunia dikejutkan dengan revolusi Iran pada 1978, saya yang berada dalam Pemuda PAS ketika itu dipimpin Mustafa Ali (sekarang Datuk) dan Haji Subky Latif selaku setiausaha, kami pergi ke sana," katanya.

"Apabila kita melawat Iran di awal revolusi, kami melihat kehebatan ulamanya apabila mereka bercakap hal revolusi dan perjuangan. Kami rasa kagum dengan ketrampilan mereka kerana selama ini di Malaysia, ulama hanya tukang baca doa dan seumpamanya saja," katanya.

Dari situ, apabila pulang, Mohamad dan rakan-rakannya membawa konsep kepimpinan ulama yang diamalkan dalam PAS sekarang.

"Kami bawa usul kepimpinan ulama ini dalam Muktamar Pemuda 1982 di Bukit Mertajam. Selepas diluluskan kami bawa ke Muktamar Pusat dan diluluskan dalam Muktamar di Dewan Bahasa dan Pustaka tahun itu.

"Pada 1983, usul ini dibawa ke dalam Perlembagaan PAS, maka terbentuklah Majlis Syura Ulama, badan tertinggi dalam PAS sekarang," katanya.

Sebab itu, katanya, konsep kepimpinan ulama ini bukan datangnya dari Mesir atau Turki, tetapi datangnya dari Iran, kata Mohamad yang  cuba mengaitkan ramai pemimpin PAS yang terpengaruh dengan gerakan Islam di Mesir (Ikhwanul Muslimin) dan Turki (AKP pimpinan Tayyib Erdogan dan Saadet pimpinan Necmetin Erbakan).

Mohamad mengimbau kembali bagaimana beliau diseretkan dengan Syiah.
"Orang tuduh saya Syiah kerana saya kagum dengan perjuangan Hassan Nasrallah, pemimpin Hizbullah, Lubnan.

"Saya suka dia kerana, bila dia bercakap soal perjuangan, anaknya mati di medan perang melawan Israel ketika umurnya 17 tahun, rumah kena bom hancur berkecai.

"Bila dia cakap Islam dalam keadaan dagang, dia sendiri dagang bila terpaksa bersembunyi ke sana kemari daripada pengeboman dan pembunuhan oleh agen Isreal.

"Maka orang seperti Hasan Nasralah datanglah penghormatan kepadanya dari penyanyi, pemain bola, orang awam, orang Kristian bahkan orang tiada agama menerima kepimpinan Hassan Nasrallah sehingga kain jubahnya itu diambil dan dipakai oleh anak-anak muda dan artis kononnya nak ambil keberkatan... inilah contoh kepimpinan yang saya terima," katanya.

Katanya, kefahaman beliau dan rakan-rakannya ketika itu, kepimpinan ulama ini bukan bermakna semua jawatan dalam PAS  mesti dipimpin ulama.
"Kefahaman kita, presiden dan ke bawah boleh di isi sesiapa saja yang layak dan mampu tetapi Majlis Syura Ulama hendaklah di isi oleh orang yang ada latar belakang pendidikan agama secara formal.

"Ini kefahaman kami ketika meletak Majlis Syura Ulama sebagai badan tertinggi dalam parti," katanya.
Bagi beliau, pada peringkat awal konsep ini diamalkan, gandingan yang baik berlaku antara Yusof Rawa dengan Datuk Fadzil Noor dan Datuk Fadzil dengan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang kebetulan semuanya dari aliran agama.

"Bagi saya siapa saja boleh pegang presiden dan lain-lain jawatan. Kalau ulama yang mahu memegang jawatan itu, bukan melalui title atau bertenggek atas nama ulama saja, mesti memenuhi syarat kepimpinan," katanya.

Katanya, beliau menerima orang seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat, Datuk Fadzil Noor dan Datuk Seri Abdul Hadi untuk memimpin PAS kerana kelebihan yang mereka ada.

"Mereka ada kelemahan tetapi kelebihan yang ada pada mereka mengatasi semua yang lain, maka orang seperti itu layak untuk memimpin," katanya.

Beliau berkata, apabila dia dan rakan-rakannya melawat Iran selepas revolusi Iran pada 1978, mereka tertarik dengan gerakan sukarela di sana yang dinamakan Jihad Sizendagi.

Kumpulan inilah yang berjaya membawa keluar rakyat Iran dari buta huruf yang tinggi di samping masalah bekalan elektrik luar bandar yang rendah.

"Bila kita balik, kami  ambil semangat itu maka tertubuhlah Unit Amal, bahkan lagu Unit Amal adalah inspirasi dari lagu itu yang dinyanyikan oleh anak muda di sana," katanya yang menjelaskan dari manakah asal usul Unit Amal, badan kebajikan dan kawalan yang sangat berpengaruh dalam PAS sekarang.

Katanya, langkah ini diambil sesuai dengan konsep hikmah dalam Islam iaitu hikmah itu benda yang tercicir dan jika diambil ia akan menjadi hak orang yang mengamalkannya.

"Kita tidak pun menyeru orang mengambil syiahnya tetapi mengambil sistem, cara dan bagaimana mereka boleh gerakkan rakyat menumbangkan satu regim yang zalim," katanya.

Beliau berkata, kunjungannya ke Syria dua tahun lalu dimainkan daripada perspektif mazhab terutama menjelang muktamar kali ini.

"Tahun ini lebih dahsyat bila saya kunjungi Syria sebelum ini. Yang saya jumpa semuanya ahli Sunnah wal Jamaah. Muftinya, Dr Said Ramadhan Albutti, Menteri Wakaf, Menteri Perpaduan... semuanya sunnah... sebenarnya di sana tidak timbul isu Sunni dan Syiah ni, ia adalah pertarungan merebut kuasa," katanya. – 27 September, 2013.

Kamu kutuk dan kata zalim apabila polis Malaysia sembur gas pemedih mata. Tentera Bashar bunuh puluhan ribu rakyat termasuk wanita dan kanak-kanak.

Nazri Jr 'beli banglo RM7j', Nazri Sr: Bukan masalah saya

Sekali lagi anak menteri pelancongan Datuk Seri Nazri Aziz mencuri perhatian atas dakwaan negatif. Dan sekali lagi, bapanya menolak dakwaan itu dengan dengan gayanya tersendiri.
Kali ini, anaknya Mohamed Nedim didakwa membeli rumah banglo dengan harga RM7.2 juta.

"Dia boleh beli istana, ini bukan masalah saya," kata Nazri kepada pemberita ketika ditanya pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, beliau nampaknya seperti tidak tahu menahu berhubung laporan itu dan bertanya kembali: "Rumah apa?"

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) hari ini mendakwa memperoleh dokumen mengenai pembelian banglo RM 7,242,555.07 yang didakwanya dikaitkan dengan Nedim.

Penyelaras NGO itu Badrul Hisham Shaharin (kanan) berkata, bagi seorang anak muda dan setelah diteliti pekerjaan atau perniagaannya, kemampuannya membeli harta tanah itu "amat meragukan", - Mkini

Siasat dahulu kesahihannya.

Lagi kes guru suruh pelajar 'balik China, India'

Seorang guru sekolah menengah di Semenyih, Selangor didakwa meminta pelajar yang enggan menyanyi dan menghormati lagu kebangsaan agar “balik ke India (atau) China”.
Laporan Sin Chew Daily menyebut, pembantu pengetua di SMK Engku Husain berkata demikian semasa perhimpunan mingguan di sebelah petang pada 23 September.

Beliau didakwa meminta pelajar tersebut “balik” jika tidak menyukai Malaysia.

Akhbar tersebut melaporkan bahawa sekolah itu telahpun menjalankan siasatan ke atas perkara berkenaan, yang timbul apabila pelajar terbabit memuatkan perkara itu di laman Facebook mereka.

Pengetua Abdul Ghafar Kunchi Mohd  memberitahu Sin Chew bahawa kalangan pelajar terbabit – ada di antaranya tidak memahami bahasa Melayu dengan baik – sebelum ini dinasihati dan diberi amaran, malah dirotan kerana tidak menyanyi dan menghormati 'Negaraku' tetapi tidak berkesan.

Ghafar berkata ia mungkin menyebabkan pembantu pengetua terbabit hilang sabar dan mengucapkan kata-kata tersebut.

Katanya, beliau akan meminta guru wanita tersebut menjelaskan perkara tersebut sebaik pulang dari satu kursus esok.

Tambahnya, kata-kata itu tidak patut diucapkan dan beliau akan meminta guru tersebut meminta maaf kepada pelajar tersebut semasa perhimpunan.

Laporan berkenaan turut memetik kenyataan timbalan menteri pelajaran P Kamalanathan yang berkata kementerian akan menyiasat kes tersebut. - Malaysiakini


Bekas MB Kedah Azizan Razak meninggal dunia

Bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar pagi ini, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius.


Bernama melaporkan Timbalan Pengarah Perubatan 1 HSB Dr Norzaini Morad berkata Azizan disahkan meninggal dunia pukul 11.05 pagi berikutan jangkitan kuman dan kegagalan organ dalaman yang pelbagai.

Katanya keadaan Azizan yang dipindahkan dari Hospital Pulau Pinang (HPP) ke HSB bulan lepas mula kritikal sejak pagi semalam selepas mengalami serangan jantung.

azlan"Rawatan agresif telah diberikan dan antibiotik terbaik juga diberikan. Jangkitan kuman mungkin berpunca daripada keadaan pesakit yang lemah. Diabetis juga memudahkan pesakit dijangkiti (kuman), selain komplikasi buah pinggang dan 'end-stage' di peringkat rawatan dialisis," katanya pada sidang media di HSB hari ini.

Pada 6 Mei lepas, Azizan yang menghadapi masalah bengkak kaki dimasukkan ke Kedah Medical Centre (KMC) di Alor Setar sebelum dipindahkan ke HPP keesokan harinya.

Di HPP, Azizan yang merupakan ADUN Sungai Limau terpaksa menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis, bagi mengelakkan jangkitan kuman pada kakinya merebak ke anggota badan yang lain.

Setelah lebih tiga bulan menerima rawatan di HPP, pada 14 Ogos lalu beliau dipindahkan ke ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB.

Sejak pukul 3 pagi semalam, keadaan kesihatan Azizan dilaporkan kritikal kerana menghadapi masalah jantung yang serius dan terpaksa bergantung kepada alat bantuan pernafasan.
Sementara itu, Setiausaha PAS kawasan Jerai Muzaini Azizan berkata, jenazah Azizan akan disembahyangkan di Markaz PAS Pokok Sena sebelum dikebumikan di Muassasah Darul Ulum pada jam 5.00 petang ini.

"Jenazah kini dalam perjalanan ke Markaz PAS Pokok Sena. Semua urusan mandi dan mengkafan jenazah beliau dilakukan di hospital.

"Rakyat boleh mengunjungi jenazahnya di markaz tersebut," katanya ketika dihubungi Malaysiakini kira-kira jam 1.30 petang ini.

Muzaini berkata jenazah bekas pesuruhjaya PAS itu akan dikebumikan bersebelahan dengan bekas presiden PAS Datuk Fadzil Noor di muassasah tersebut.
Azizan yang juga bekas pesuruhjaya PAS Kedah meninggalkan dua orang isteri dan 14 orang anak.

Susulan kematian Azizan, kerusi DUN Sungai Limau kosong dan membolehkan pilihan raya kecil kedua diadakan selepas di DUN Kuala Besut.

Pada pilihan raya umum lalu, Azizan berdepan dengan cabaran empat penjuru termasuk sepupunya Mohd Fazillah Mohd Ali yang mewakili BN. Azizan mempertahankan kerusi DUN itu dengan majoriti 2,774 undi. - Mkini

Wednesday 25 September 2013

Ketua polis Pulau Pinang cabar pengirim SMS ugutan bersemuka

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi mencabar individu yang menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) berbaur ugutan kepadanya pada Isnin lalu untuk bersemuka.

Abdul Rahim berkata, beliau tidak gentar dengan SMS yang diterima dan perkara itu tidak akan mematahkan semangatnya untuk terus memerangi jenayah di Pulau Pinang sekali gus menjalankan tugas dengan lebih tegas.

"Saya nasihatkan kepada penghantar mesej (ugutan) itu, jangan ingat dia terlepas daripada tindakan pihak polis.

"Tak payahlah ugut-ugut hantar SMS, beritahu saja, telefon mana mahu jumpa, saya akan pergi. Kalau dah berani sangat, beritahu tempat, tunggu saya, saya akan pergi," katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam sempena Kejohanan Bola Jaring Piala Ketua Polis Negara 2013 di Georgetown, malam tadi.

Beliau menerima lebih tiga SMS ugutan pada Isnin dan sudah membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut kelmarin.


Antara kandungan SMS berkenaan ialah "Hello kepala Penang mau kasi ingat U sudah ambil saya punya kawan lima orang, U jangan ingat U The Best".  Selain itu, pengirim SMS turut mengugut untuk "mengambil" Abdul Rahim atau rakannya, jika tidak berjaya "mengambil" Abdul Rahim.

Semua SMS diterima daripada nombor yang sama bermula jam 9 pagi ketika Abdul Rahim berada di pejabatnya.
Abdul Rahim berkata, sebagai pegawai polis, beliau sudah biasa dengan SMS berbaur ugutan dan tidak kisah dengan perkara itu kerana apa yang penting ialah menjalankan tugasnya dalam memastikan keamanan serta keselamatan masyarakat.

"Saya langsung tidak takut, bimbang dan sebagainya. Kalau saya sebagai Ketua Polis Negeri takut, bagaimana masyarakat? Kalau tunjuk muka takut, masam, bagaimana saya nak kekalkan keamanan. Apa yang saya nak takut. Saya akan lebih tegas lagi dalam perkara ini," katanya.

Katnaya, beliau mengarahkan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah negeri menyiasat perkara itu mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan.
Beliau turut mengesahkan timbalannya, Datuk A Thaiveegan yang baharu bertugas minggu lalu, juga menerima SMS berbaur ugutan dan siasatan berhubung perkara itu sedang dijalankan. - Bernama, 26 September, 2013.

Burulah penjenayah itu dengan teknologi semasa. Kurangkan drama.

Bersekedudukan hampir 10 tahun

BATU PAHAT - Tindak-tanduk seorang wanita berusia 29 tahun yang sering kali berulang-alik ke rumah kekasihnya yang bukan Islam menimbulkan tanda tanya penduduk sekeliling selama ini  akhirnya terbongkar.

Kelakuan sumbang pasangan berkenaan terbongkar apabila kediaman lelaki itu yang terletak di Jalan Mustafa, di sini, diserbu kira-kira jam 3 pagi semalam, oleh penguatkuasa Jabatan Agama Islam Johor (Jaij) Batu Pahat.

Turut menyertai serbuan itu adalah anggota dan pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Pasangan yang didakwa  bersekedudukan hampir 10 tahun itu turut memiliki seorang anak lelaki berusia lapan tahun.

Timbalan Penguatkuasa Jaij Batu Pahat, Saiful Ariffin Mohd Sopah berkata, ketika serbuan, wanita berasal dari Kelantan itu pada mulanya enggan memberikan kerjasama  dengan mendiamkan diri.

Bagaimanapun, setelah beberapa kali dipujuk, wanita terbabit akhirnya akur dan keluar dari bilik seterusnya menceritakan situasi sebenar.

“Wanita itu dipercayai bersekedudukan dengan kekasihnya yang bukan Islam di sebuah rumah sejak 10 tahun lalu. Wanita itu juga mengakui tidak lagi mengamalkan ajaran Islam seperti solat dan  sebagainya,” katanya, di sini.

Saiful Ariffin berkata, hasil  pemeriksaan lanjut dalam sebuah  bilik di kediaman pasangan ber- kenaan mendapati seorang kanak-kanak berusia lapan tahun sedang nyenyak tidur.
Menurutnya, wanita terbabit turut mengakui kanak-kanak itu adalah anak hasil hubungan dengan kekasihnya.

Mengikut surat beranak yang disertakan, anak itu tidak berbinkan kepada sesiapa dan pihaknya percaya dia adalah anak tidak sah taraf.

Bagaimanapun, pihaknya masih menyiasat agama yang dianuti kanak-kanak berkenaan.

“Setakat ini, pasangan terbabit disiasat mengikut Seksyen 23(1)(a)(b) Enakmen Kanun Jenayah Syariah Johor 1997 dan mereka akan dihadapkan ke mahkamah selepas siasatan selesai berhubung  kesalahan yang dilakukan

“Kita menasihatkan agar  keluarga memainkan peranan  penting bagi mengelak anak tersasar jauh daripada ajaran Islam,” katanya.

Saiful Ariffin memberitahu,  operasi itu bertujuan membendung kegiatan sumbang yang semakin  menular dalam kalangan anak muda sejak kebelakangan ini.

Tambahnya, operasi seperti ini juga akan dilakukan dengan lebih kerap, tertumpu kepada aduan orang ramai, hotel bajet dan  kawasan yang berpotensi untuk kelakuan seperti itu. - SH

Siapa tanggung dosa kerana tidak laksana hukum Islam?

RM66.6b harta tidak dituntut

KUALA TERENGGANU 25 Sept. - Dua perkhidmatan baharu yang disediakan Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) iaitu Hibah Amanah (pelabur Islam) dan Pengisytiharan Amanah (pelabur bukan Islam) mampu merancakkan sektor ekonomi sekali gus memberi impak positif khususnya kepada umat Islam jika ia dapat dicairkan melalui cara yang betul.

Pengerusi Permodalan Nasional Berhad (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, mengikut statistik yang diperoleh melalui Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM), ketika ini, harta orang Islam yang tidak dituntut mencecah RM66.6 bilion.

Katanya, melalui dua perkhidmatan itu, pihaknya yakin dapat mengurangkan masalah harta yang tidak dituntut kerana perkara itu jelas merugikan masa depan pewaris mereka atau generasi masa depan.

"Melalui hibah yang diperkenalkan, rakyat digalakkan menyertai perkhidmatan ini dalam usaha memudahkan urusan tuntutan harta pusaka berbentuk pelaburan dalam ASNB dibuat jika berlaku kematian kepada pemegang unit.


"Umat Islam perlu sedar mengenai kepentingan hibah kerana sebagai umat Islam jika gagal menguruskan harta mereka, ia akan mengakibatkan ekonomi Islam lemah dan bagi orang bukan Islam, pengagihan unit saham dapat disegerakan jika mereka menyertai perkhidmatan ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Pertandingan Akhir Kuiz Pelaburan PNB 1 Malaysia (Kategori Institut Pendidikan Guru (IPG) di IPG Kampus Datuk Razali dekat sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman dan Rektor IPG Kementerian Pendidikan Malaysia, Tuan Sulaiman Wak. - Utusan

Ketua Polis P.Pinang diugut bunuh

GEORGETOWN - Bimbang keselamatan dirinya, keluarga dan anggota lain, Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi membuat laporan selepas menerima ugutan bunuh dua hari lalu.

Abdul Rahim dilaporkan menerima ugutan itu menerusi sistem pesanan ringkas (SMS) yang dihantar melalui telefon bimbitnya ketika berada di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang kira-kira jam 9 pagi Isnin lalu.

Difahamkan, kiriman SMS oleh individu yang tidak dikenali itu mengandungi ayat ugutan kerana tidak berpuas hati apabila lima rakannya ditembak polis bulan lalu.

Kandungan SMS yang diterima Abdul Rahim adalah ‘Hello kepala penang, mau kasi ingat, u sudah ambil saya punya kawan lima orang, u jangan ingat u the best, u jaga u punya body, tak dapat u, u punya kawan saya ambil. Jaga-jaga’.


Abdul Rahim membuat laporan sehari selepas menerima ugutan itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut, kira-kira jam 8.50 malam semalam. - SH

Ketua polis negeri pun rasa tidak selamat.

Pemuda PAS: Khalid hilang roh sukan

Pemuda PAS Selangor terkilan dengan sikap Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang tidak mengambil kira teguran bagi memajukan bola sepak negeri itu sehingga mencabar kembali untuk memilih sama ada menggunakan peruntukan untuk membina masjid atau bola sepak.

Dengan nada menyindir, Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohd Sany Hamzan berkata, hal demikian mungkin disebabkan Khalid "terlalu lama dikelilingi oleh roh simpanan tetap yang berbilion-bilion sehingga menghilangkan perasaan terhadap roh sukan".

"Pemuda PAS Negeri Selangor menyifatkan bahawa cabaran yang meminta supaya Pemuda PAS Selangor memilih sama ada untuk menggalakkan bola sepak atau membina masjid sebagai tidak adil kerana kedua-duanya adalah perkara yang berbeza.

"Masjid sememangnya diperlukan untuk perkembangan agama dan kerohanian rakyat Selangor manakala sukan bola sepak adalah salah satu acara sukan yang boleh membina kesihatan fizikal dan sebagai alat perpaduan rakyat Selangor terutamanya kalangan generasi muda," katanya.
Sebelum ini, Mohd Sany mengkritik kekurangan penajaan Menteri Besar Incorporated (MBI) sehingga menyebabkan pemain berbakat seperti Amri Yahyah, Norazlan Razali, Mahalli Jasuli dan Asraruddin Putra Omar cuba dipikat Kelab Johor Darul Takzim dengan tawaran gaji lumayan.

Sebagai reaksi, Khalid yang juga presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mencabar dewan itu membuat pilihan memandangkan setiap tahun peruntukan membiayai bola sepak melebihi pembinaan sebuah masjid.

Dalam kenyataannya hari ini, Mohd Sany berkata, pihaknya berharap Khalid membuat pertimbangan sewajarnya terhadap isu dibangkitkan demi pemerkasaan agenda sukan negeri.

Pemuda PAS negeri itu juga berharap Khalid dapat merombak semula kepimpinan FAS dan menggantikannya dengan muka baru yang lebih progresif dan efisien untuk menyelamatkan maruah pasukan The Red Giants.

"Selain itu, pihak pengurusan FAS juga diharapkan dapat menarik penaja-penaja yang baru yang boleh membantu untuk mengembalikan kegemilangan skuad bola sepak negeri Selangor," kata Mohd Sany. - Malaysiakini

Memalukan PAS.

Tuesday 24 September 2013

Pelatih PLKN Muadzam Shah mati dibunuh

Seorang pelatih berumur 18 tahun dipercayai dibunuh di kem Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Muadzam Shah, Pahang kerana dikatakan memotong barisan semasa sarapan pagi pada Ahad lalu.
Sehubungan itu, tiga pelatih berumur 17, 18 dan 21 ditahan polis bagi membantu penyiasatan kes bunuh berkenaan.

Mangsa, Muhammad Suhaimi Norhamidi ditemui tidak sedarkan diri di bilik mandi kem itu pada 12.04 pagi dan disahkan meninggal dunia ketika tiba di Hospital Muadzam Shah.
Terdapat tanda kecederaan di belakang telinganya, dipercayai disebabkan oleh objek tumpul.
Bedah siasat awal mendapati Suhaimi mati kerana kecederaan di bahagian otak.

Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Pahang Mohd Haris Dau mengatakan tiga yang ditahan berasal dari Johor dan Pahang.
Katanya siasatan awal mendapati mangsa menyebabkan kemarahan beberapa pelatih PLKN lain apabila memotong barisan pada Ahad.

Ini menyebabkan pergaduhan pertama antara mangsa dan tiga yang lain beberapa jam kemudian.
Mohd Haris berkata, pergaduhan kedua berlaku pada 11.30 malam dan 30 minit selepas itu, mangsa ditemui tidak sedarkan diri di lantai bilik mandi.

Terdapat 22 kematian semenjak PLKN diperkenalkan pada Disember 2003 termasuk mati lemas, jangkitan kuman dan masalah kesihatan lain.
Ini merupakan kes pertama mangsa dibunuh di kem latihan PLKN. Pada 2004, gadis berumur 17 tahun dirogol oleh jurulatih PLKN yang kemudiannya dipenjarakan selama 12 tahun. – 24 September, 2013.

GISB didakwa langgar taubat

SEPANG - Global Ikhwan Sdn Bhd (GISB), syarikat yang dikaitkan dengan pertubuhan haram Al Arqam, didakwa melanggar salah satu daripada sembilan langkah kembali bertaubat yang dikemukakan syarikat itu, baru-baru ini.
Perkara itu diakui oleh seorang bekas pengikut Al Arqam, Zawawi Aman, di mana hanya isteri, Samsiah Yusoh dan seorang anaknya, Muhammad Abdul Bar, 4, pulang ke pangkuan suami, kelmarin.

Sedangkan GISB sebelum ini berjanji akan memulangkan isteri dan anak ke pangkuan keluarga, namun tiga lagi anak perempuan Zawawi, Siti Maryam Adzar, Nur Samahan dan Siti Khaulah Al Azwar masih menetap di Jordan dengan alasan sedang belajar.

Samsiah ketika ditemui menjelaskan, tiga anaknya itu baru mengikuti sesi pembelajaran di Jordan di mana yuran pengajiannya ditanggung sepenuhnya oleh GISB.

Ibu kepada lapan orang anak itu bagaimanapun tidak pasti bila anaknya akan pulang dan dia akan berbincang dengan suami bagi menyelesaikan perkara tersebut.

“Yuran pengajian agak mahal. Semua dibiayai oleh GISB,” jelas Samsiah.

Namun bagi Zawawi, beliau memberi masa selama dua minggu kepada GISB memulangkan semula tiga anaknya, jika tidak beliau akan membuat laporan polis demi memastikan keselamatan anaknya terjamin.

“Mereka masih di bawah umur dan menjadi tanggungjawab saya sebagai bapa untuk menentukan di mana mereka akan belajar. Saya juga tidak tahu adakah mereka benar sedang belajar di sana.

“Lagipun saya tidak tahu tahap keselamatan mereka. Paling saya risau, mereka mungkin dikahwinkan pada usia muda di mana pernah berlaku perkara sama sebelum ini terhadap anak pengikut GISB,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang
Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), kelmarin.

Zawawi berkata, beliau tidak akan berputus asa selagi tidak melihat tiga anak perempuannya itu kembali ke sisinya. - SH


Ada nampak laki bini ni bersalam?

MB Selangor mahu Pemuda PAS pilih bola atau masjid

Jika semalam Pemuda PAS Selangor mengkritik kekurangan penajaan sukan bola sepak negeri oleh syarikat Menteri Besar Incorporated (MBI), hari ini menteri besar sendiri mahu pertubuhan itu membuat pilihan di antara "masjid atau bola".

Cabaran itu dilontarkan Tan Sri Khalid Ibrahim sewaktu mengulas dakwaan kekurangan penajaan MBI menyebabkan beberapa pemain bintang dalam pasukan Selangor dipancing pasukan lain.

"Saya dapati jumlah peruntukan yang diberikan, kalau rakan-rakan Pemuda PAS berminat (hendak tahu), tiap-tiap tahun kita mempunyai peruntukan untuk membiayai bola sepak melebihi pembinaan satu masjid.

"Bererti tiap-tiap tahun kita guna melebihi RM7 juta. Maknanya, adakah (Pemuda) PAS berminat untuk kita buat masjid atau pun menggalakkan bola sepak?
"Jadi kita kena buat pilihan," katanya kepada Malaysiakini tengah hari ini.
Khalid ditemui selepas menghadiri Majlis Dialog Belanjawan 2014 di Subang Jaya.

Semalam Timbalan Ketua Pemuda PAS Selangor, Mohd Sany Hamzan mengkritik kekurangan penajaan MBI sehingga menyebabkan pemain seperti Amri Yahyah, Norazlan Razali, Mahalli Jasuli dan Asraruddin Putra Omar cuba dipikat Kelab Johor Darul Takzim dengan tawaran gaji yang lumayan.

Mohd Sany berkata kegagalan penaja menyalurkan penajaan akan menyebabkan pemain senior dan berbakat negeri itu berhijrah dan dibimbangi akan menyebabkan pasukan "gergasi bola sepak negara suatu ketika dahulu menjadi lesu dan tidak bermaya".

Selangor sehingga kini berjaya memenangi 32 gelaran juara Piala Malaysia, tujuh gelaran juara liga divisyen 1, dua gelaran juara liga divisyen 2, lima gelaran juara Piala FA Malaysia, dan lapan gelaran juara perlawanan sumbangsih atau Perisai Sultan Haji Ahmad Shah.

Ia sekali gus menjadikan Selangor satu-satunya pasukan yang paling banyak menjuarai piala kejohanan tempatan.

MBI adalah penaja utama pasukan Selangor.  - Malaysiakini

Yang mana satu ahli parti Islam Semalaysia.

Sunday 22 September 2013

Menteri cadang naik harga gula elak diabetes

SEGAMAT - Kerajaan hari ini disaran mengurangkan subsidi harga gula secara berperingkat sebagai langkah menggalakkan rakyat mengurangkan penggunaan bahan itu dalam makanan dan minuman sekaligus mengurangkan penghidap diabetes.
  
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S. Subramaniam berkata: "Setakat ini bilangan penghidap diabetes di negara ini telah meningkat kepada 2.6 juta orang atau 15 peratus daripada jumlah penduduk Malaysia.
  
"Ini semua berlaku kerana rakyat kita tidak mengawal penggunaan gula dalam makanan dan minuman," katanya kepada pemberita selepas merasmikan kempen kesedaran diabetes dan gaya hidup sihat Parlimen Segamat di Dewan Orang Ramai Pekan Buloh Kasap di sini.     
Menurutnya penyakit kencing manis (diabetes) menjadi masalah besar kepada negara kerana mereka yang menghidap penyakit itu akan berisiko mengidap penyakit lain seperti masalah penglihatan dan penyakit buah pinggang.
  
Setakat ini katanya, dilaporkan terdapat seramai 16,000 orang pesakit buah pinggang dalam senarai menunggu untuk mendapatkan pemindahan organ itu daripada penderma yang purata hanya terdapat seramai 40 hingga 50 orang setahun.
  
Beliau turut mencadangkan agar pekedai makanan dan minuman tidak mencampurkan gula dalam minuman yang dipesan pelanggan sebaliknya meletakkan gula dalam bekas berasingan supaya pelanggan boleh membuat pilihan sama ada menggunakan gula atau sebaliknya dalam minuman. - Bernama

Harga barang makanan akan meningkat naik. BN = Barang Naik = Beban Negara

Blogger pro pembangkang pertikai Hadi

SHAH ALAM - Selepas mengeluarkan kenyataan bahawa Pas terbuka untuk bekerjasama dengan Umno, Presiden Pas, Datuk Seri Hadi Awang nampaknya terus mendapat perhatian blogger terkenal, tukartiub.blogspot.com.

Pemilik blog berkenaan yang juga aktivis politik, Hishamuddin Rais dilihat seolah-olah mempersendakan kenyataan Hadi dan menganggap pemimpin itu "meroyan".

"Kenapa tiba-tiba Hadi meroyan nak jumpa Najib.

"Tahukah Hadi di mana Najib sekarang," tulisnya dalam laman mikro Twitter seperti mengajuk Pas kerana berulang kali mengutarakan perkara ini tanpa sebarang hasil.

Abdul Hadi semalam dipetik sebagai berkata, Pas sedia untuk  bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai isu jika parti itu dipelawa.
  
Katanya, Pas boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah membuktikan pemimpin-pemimpin Pas dan Umno boleh berada bersama di atas satu pentas.
  
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam satu forum suatu ketika dahulu.
  
"Dasar kita boleh berbincang apa sahaja isu seperti jenayah, rasuah dan ekonomi. Kalau kita diajak kita boleh pergi, kita boleh bincang," katanya.

Abdul Hadi berkata, jika perbincangan itu melibatkan soal Islam, Pas akan berpegang kepada dasarnya iaitu berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas.
 
"Pas pernah membuka pintu mengajak Umno bermuzakarah pada 1980-an dengan berdasarkan perkara-perkara berkenaan," katanya.
 
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor sebagai berkata, kerjasama antara Umno dan Pas untuk menyatukan orang Melayu serta umat Islam di negara ini bukan perkara mustahil.

Paparan berita mengenai kesediaan Pas bekerjasama dengan Umno ini juga menjadi berita pilihan pembaca di Sinar Harian Online hari ini apabila ia berada di kedudukan teratas segmen '5 paling hot'. - SH

Populariti Hishamuddin Rais sudah merosot.

Pas sedia kerjasama dengan Umno: Abdul Hadi

ALOR SETAR - Pas sedia bekerjasama dengan Umno termasuk berdialog bagi membincangkan pelbagai isu jika parti itu dipelawa, kata Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
  
Katanya, Pas boleh berbincang mengenai apa sahaja isu dan sejarah membuktikan pemimpin-pemimpin Pas dan Umno boleh berada bersama di atas satu pentas.
  
Beliau berkata, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor pernah bersama dalam satu forum suatu ketika dahulu.
  
"Dasar kita boleh berbincang apa sahaja isu seperti jenayah, rasuah dan ekonomi. Kalau kita diajak kita boleh pergi, kita boleh bincang," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada Konvokesyen Kolej Islam Darul Ulum di Pokok Sena, dekat sini hari ini.   
Abdul Hadi berkata, jika perbincangan itu melibatkan soal Islam, Pas akan berpegang kepada dasarnya iaitu berlandaskan al-Quran, hadis, ijmak ulama dan qiyas.
  
"Pas pernah membuka pintu mengajak Umno bermuzakarah pada 1980-an dengan berdasarkan perkara-perkara berkenaan," katanya.
  
Baru-baru ini Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilapor sebagai berkata, kerjasama antara Umno dan Pas untuk menyatukan orang Melayu serta umat Islam di negara ini bukan perkara mustahil.
  
Mengenai cadangan Dewan Ulama Pas supaya tahaaluf siyaasi (kerjasama politik) antara parti itu dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang dikaji semula, Abdul Hadi berkata, Dewan Ulama Pas berhak mengemukakan usul ke muktamar Pas akhir tahun ini yang kemudian akan dibawa ke sebuah jawatankuasa untuk ditapis.
  
"Terpulang kepada Dewan Ulama Pas, bukan hak kita dan jawatankuasa usul akan melihatnya. Kadang-kadang usul ini tak perlu dibahas tetapi diselesaikan secara peringkat dalaman parti," katanya. - Bernama

PAS sudah tua. Takkanlah tidak faham perangai busuk Umno.

Saturday 21 September 2013

Pengasas bersama Taliban Afghanistan dibebaskan

ISLAMABAD 21 Sept. - Pakistan hari ini membebaskan pengasas bersama Taliban di Afghanistan, Mullah Abdul Ghani Baradar (gambar), tindakan yang diharap dapat menggalakkan rundingan damai dengan pemberontak.

Mullah yang merupakan bekas timbalan pemimpin Taliban di Afghanistan, adalah tahanan paling berprofil tinggi dari kumpulan militan itu yang ditahan di Pakistan ketika ini.

"Ya, Mullah telah dibebaskan," kata seorang jurucakap bagi Kementerian Dalam Negeri, Omar Hamid, tanpa memberi butiran lanjut.

Semalam, Kementerian Luar Pakistan menyatakan pembebasan pemimpin kanan kumpulan militan itu akan memudahkan Afghanistan menyambung semula rundingan damai dengan Taliban.

Namun, jurucakap Taliban di Afghanistan, Zabihullah Mujahid berkata, mereka masih belum boleh mengesahkan pembebasan itu.

"Kami hanya mendengarnya melalui media dan masih belum menerima sebarang pengesahan rasmi," katanya kepada AFP di Kabul. - AFP

Tak sanggup minum air lumpur

Kamarudin menunjukkan air paip yang ditadah sudah berkeladak.
KUALA PILAH – Penduduk Kampung Gemuroh melahirkan rasa kecewa dan tidak berpuas hati apabila kualiti air yang dibekalkan bercampur lumpur, sekali gus mengganggu urusan harian mereka.


Penduduk, Kamarudin Arifin, 48, berkata, masalah berkenaan berlarutan hampir setahun itu turut menyebabkan penapis air miliknya rosak.

“Gara-gara penapis sudah rosak, saya sekeluarga terpaksa menadah air dari paip dan perlu menunggu dua jam sebelum mendapat air bersih.

“Malah, berlaku pembaziran apabila saya terpaksa membuang air yang berkeladak kerana tidak boleh digunakan dan kadang kala saya perlu menanggung bil air mencecah ratusan ringgit,” katanya.

Dia mendakwa, masalah itu kemungkinan berpunca daripada saluran paip bawah tanah sedia ada yang bercampur lumpur.

“Sedia maklum, kawasan ini berbukit-bukit, jadi kedudukan paip bawah tanah tidak sekata dan ada yang melengkung. Apabila air melalui saluran paip itu, ia akan bercampur dengan lumpur yang telah mendap sekian lama. Sebab itu, masalah ini berlarutan sehingga sekarang.

"Biasanya kejadian tidaklah seteruk ini, hanya berlaku pada awal pagi, kadang kala waktu malam. Tetapi kali ini sampai beberapa kali dalam sehari, kami terima air berkeladak.

"Susahlah bila berlaku macam ini, kami juga mahu air bersih. Sekarang, kami perlu tadah dan tapis dahulu air sebelum digunakan,” katanya ketika ditemui di rumahnya, dekat sini, semalam.

Sementara itu, menurut isterinya, Norazah Ramly, 41, berkata, kadang kala air yang keluar bukan sahaja berkeladak tetapi menyebabkan badan mengalami gatal-gatal.

“Selain berdepan dengan risiko penyakit kulit, kami juga khuatir ia juga akan menjejaskan kesihatan kami kerana menggunakan air ini untuk menyediakan makanan,” katanya terpaksa membelanjakan wang untuk membeli air mineral sebagai minuman.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Din, 40, berkata, pada bulan Ramadan lalu, air yang keluar dari paip berwarna merah dan langsung tidak boleh digunakan.

"Memang tak tergamak hendak minum air seperti ini, jadi saya terpaksa tadah air menggunakan penapis air. Walaupun tunggu lama, tetapi saya tiada pilihan lain,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Bahagian Perkhidmatan Korporat Sains, Norzita Ismail berkata, pihaknya telah mengambil inisiatif melakukan kerja-kerja scouring selama sejam untuk membersihkan aliran paip yang menghala kepada rumah pengadu.

Menurutnya, masalah itu berpunca daripada mendakan kerana rumah pengadu berada di penghujung bekalan air.

"Bagaimanapun, Sains telah mengambil tindakan penambahbaikan, di mana kerja-kerja pengawasan akan dibuat setiap kawasan tersebut serta membuat penambahan injap scour bagi membuang kotoran atau mendapan yang ada di dalam aliran paip," katanya. - SH

Bohong! Ini semua fitnah. Mana mungkin negeri yang diperintah Umno-BN boleh bekalkan air kotor. Jika ada, hanya berlaku di Selangor.

Thursday 19 September 2013

Sah, Mukhriz tanding naib presiden

Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir hari ini mengumumkan akan bertanding jawatan naib presiden Umno dalam pemilihan parti itu bulan depan.
Mukhriz yang juga pengerusi Umno Kedah, mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan tersebut di kediaman rasminya di Seri Mentaloon di Alor Setar petang ini.

Semangat anak bekas perdana menteri itu seperti tergambar dalam poster di sebelah pentas tempat beliau mengumumkan tindakan nekad itu, dengan slogan "Berani Berubah".

NONESejurus selepas pengumuman itu, penyokongnya terus melaungkan slogan "Hidup Umno".

Mukhriz juga hari ini menyokong Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai gandingan terbaik untuk memimpin Umno.

Beliau turut mengumumkan tiga calon untuk merebut jawatan anggota Majlis Tertinggi, iaitu Aziz Salim, Datuk Seri Mahadzir Khalid dan Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Malah, sebelum pengumuman itu, kelihatan bekas menteri besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim turut hadir. Beliau turut memberitahu akan berkempen untuk Mukhriz.

"Beliau patut buat keputusan hari ini. Datuk Seri Najib sudah cakap sesuatu dan ia mungkin mempengaruhi keputusannya, tetapi saya tidak akan beritahu," katanya berseloroh kepada beberapa pemberita, ketika muncul untuk berjabat tangan.

Era pemimpin muda
Shahidan juga pengerusi Umno Perlis dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan bahagiannya memberikan sokongan bulat kepada Mukhriz.

Beberapa penulis blog pro-Umno, antaranya Zakir Mohammed yang mengendalikan blog Big Dog, juga dilihat di acara itu, di samping ratusan hadirin, termasuk pemimpin akar umbi dari Pulau Pinang, Perak, Johor, Terengganu, malah Kelantan.

NONESebelum itu, tempat itu digamatkan dengan laungan "Hidup Mukriz" and "Berani Berubah" sejak jam 5.15 petang.

Kehadiran Mukhriz juga disambut dengan nyanyian lagu patriotik "Inilah Barisan Kita".

Dalam ucapannya, Mukhriz antaranya menegaskan keperluan muka-muka baru dalam BN untuk menghadapi era pemimpin muda pembangkang, tanpa tokoh sedia ada.

"Apakah kita telah membuat persiapan dan perancangan strategik untuk memegang tampuk pemerintahan negara. Apakah kita telah bersedia meraih undi daripada lebih tiga juga pengundi baru nanti?

"Inilah persoalan paling penting difikirkan sebelum kita sama-sama membuat keputusan dan membantu pemimpin kita mengemudi parti," katanya lagi. [Baca berita penuh]
Sementara itu, Bernama melaporkan Mukhriz berkata beliau membuat keputusan itu setelah menerima banyak nasihat dari setiap  lapisan kepimpinan, dan setelah memikirkan jawatan  yang sesuai untuk beliau dipertanggungjawabkan.
   
"Saya telah tanyakan diri saya, apakah saya  bersedia. Saya telah menimbangkan perkara ini dari  setiap sudut.
   
"Maka bagi mewakili zon utara di negara tercinta ini, khususnya Kedah yang telah kembali ke pangkuan Umno, Kedah yang melahirkan Bapa Kemerdekaan, Kedah yang juga melahirkan Bapa Pemodenan Malaysia, Kedah yang DYMM Tuanku Sultannya menaiki takhta menjadi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali, bagi pemilihan kali ini saya dengan penuh rendah diri ingin menawarkan diri bertanding sebagai naib presiden Umno Malaysia," katanya.
   
Jawatan naib presiden Umno kini disandang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein. Ketiga-tiga mereka telah menyatakan hasrat untuk mempertahan jawatan itu.
   
Selain Mukhriz, dua lagi pemimpin telah mengumumkan akan bertanding jawatan itu iaitu Pengerusi Felda Tan Sri Isa Samad dan bekas Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
   
Mukhriz berkata sebagai pemimpin negeri, beliau tidak dapat tidak, perlu mendengar nasihat dan menerima desakan daripada pengikut.
   
"Antara nasihat yang banyak saya terima ialah untuk memastikan saya terus memberi khidmat, jika boleh, ke peringkat yang lebih tinggi. Nasihat-nasihat ini, semakin menjadi satu harapan. Sebagai pemimpin, saya semestinya tidak boleh lari dari perkara ini, yang juga merupakan tanggungjawab," katanya.
   
Dalam sidang media selepas itu, Mukhriz berkata hasrat beliau bertanding jawatan naib presiden dalam pemilihan parti semata-mata untuk menterjemahkan transformasi yang hendak dilakukan dalam parti menerusi slogan 'Berani Berubah' yang beliau gunakan ketika bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada 2009.
   
Katanya parti pembangkang dilihat telah memulakan persiapan ke arah pilihan raya umum ke-14 (PRU14) dan terbuka kepada orang muda sehingga mereka turut terbabit secara aktif dalam melakar hala tuju parti.
   
"Malah sehingga sampai ke tahap boleh pegang jawatan tertinggi dalam parti dan kerajaan negeri yang mereka kuasai...orang muda boleh pegang jawatan penuh tanggungjawab. Bila sampai PRU14, mungkin 2018, orang macam ini yang akan mengetuai pilihan raya.
   
"Waktu tu mungkin pemimpin dinosaur dalam Pakatan Rakyat dah tak ada. Yang ada pemimpin baharu, pelapis, dan ada daya tarikan sendiri tetapi berpengalaman sebab dah diberi pendedahan lebih awal. Orang macam ini yang Umno akan berhadapan.
   
"Kalau pembaharuan tak dibuat dalam Umno dan BN cuba bayangkan kemungkinan untuk kita dapat pertahankan 133 kerusi Parlimen yang ada sekarang, malah untuk tambah lagi. Itu yang saya bimbangkan. Wajib (berubah),"katanya.
   
Sementara itu, Mukhriz berkata kedudukan beliau sebagai menteri besar mungkin menjadi kekangan kepada beliau dalam mendapatkan sokongan daripada perwakilan di seluruh negara.
   
"Sebagai calon kena minta sokongan dari seluruh negara. Di sini saya ada kekangan. Saya menteri besar di Kedah ada tanggungjawab perlu digalas. Mungkin tak ada masa seluas-luasnya untuk bergerak banyak kali ke seluruh negara untuk berkempen. Bukan hanya (perlu dapat sokongan dari perwakilan) di utara walaupun daripada enam nama untuk calon naib presiden saya seorang dari utara," katanya. - Malaysiakini

Wednesday 18 September 2013

10 kenderaan mewah bukan milik saya - Suhaimi

PUTRAJAYA 18 Sept. - Bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Datuk Suhaimi Ibrahim menegaskan sebanyak 10 kenderaan mewah yang dirampas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penyelewengan dana Program Akhiri Zaman Miskin (1Azam) bukan miliknya.

Beliau yang kesal dengan laporan media berhubung perkara itu berkata, kenderaan mewah tersebut milik individu lain yang turut disiasat dalam kes berkenaan sambil menegaskan tiada sebuah kereta, harta atau sebarang dokumen miliknya dirampas SPRM sehingga kini.

Menurutnya, kesemua 10 kenderaan mewah tersebut juga bukan milik proksi beliau sebagaimana dakwaan pihak tertentu.
Sehubungan itu, Suhaimi yang juga bekas Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta media berhati-hati melaporkan perkara tersebut dan tidak teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya laporan tidak benar tersebut terus berulang.

Tambahnya, beliau tampil memberi penjelasan kerana yakin bebas daripada amalan rasuah selain mengambil sikap berani kerana benar walaupun mengakui dugaan yang diterima kali ini paling mencabar sepanjang hidupnya.

"Saya beritahu terus terang, 10 buah kenderaan mewah itu bukan milik saya tetapi milik individu lain yang turut disiasat dalam kes ini. Tapi media melaporkan seolah-olah hanya saya seorang sahaja yang disiasat. Lebih tujuh individu yang disiasat oleh SPRM dalam kes ini.

"Boleh tanya Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau sahkan sendiri dengan SPRM. Tiada sebuah kereta atau harta benda saya yang dirampas. SPRM juga tidak merampas sebarang dokumen. Saya datang memberi keterangan dengan sukarela," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam media melaporkan, seorang bekas setiausaha politik kepada bekas menteri Kabinet dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM100,000 selepas ditahan reman lima hari bagi membantu siasatan berhubung penyelewengan dana program 1Azam dengan 10 buah kenderaan mewah turut dirampas.

Menurut Suhaimi, jika benar terbabit dalam penyelewengan dana projek 1Azam, beliau tidak mungkin hadir ke ibu pejabat SPRM Putrajaya Jumaat lalu berseorangan tanpa ditemani peguam.
"Pegawai SPRM telefon minta saya hadir. Saya datang sukarela tanpa ditemani peguam.

Saya bagi kerjasama sebaik mungkin ketika disiasat selama lima hari kerana percaya saya bersih daripada rasuah. Selebihnya, biarlah SPRM buat kerja kerana saya tidak mahu ganggu siasatan," katanya.

Mengenai dakwaan rumahnya di Taman Melawati dekat sini, juga ada kaitan dengan penyelewengan dana program 1Azam, Suhaimi berkata, pihak yang membuat fitnah itu sepatutnya sedar beliau sudah terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan seperti pembinaan, restoran dan pertanian sejak 1995.

"Tiada satu pun perniagaan itu ada kaitan dengan tugas saya sebagai bekas setiausaha politik sebelum ini. Saya beli rumah terbabit hasil rezeki melalui perniagaan. Jangan membuat tuduhan melulu tanpa siasatan," katanya. - Utusan

Tiada apa yang diselindung dari SPRM, kata bekas setiausaha politik Shahrizat

Datuk Suhaimi Ibrahim, bekas setiausaha politik kepada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil muncul hari ini mengakui beliau adalah individu yang ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tujuan siasatan.

Semasa mengadakan sidang media di Kelab Tasik Putrajaya petang tadi, Suhaimi berkata beliau disiasat atas pertuduhan salah guna wang program akhiri zaman miskin (1AZAM).
Katanya, sekurang-kurangnya tujuh individu dari kementerian lain turut dipanggil bagi membantu siasatan.

"Tiada apa yang hendak disembunyikan. Ya, saya ditahan tetapi maklumat yang disiarkan di blog dan portal tidak semuanya betul," katanya.

Menurut laporan, SPRM menyita 10 kenderaan mewah Suhaimi namun beliau menafikan laporan itu.
"Jika ada pihak yang mempersoal kemewahan saya, seperti tersiar di blog,  itu hasil usaha keras saya. Saya seorang ahli perniagaan sejak 1995 dan dari situlah datang sumber kewangan itu."


Beliau yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Benta, Pahang ditahan reman empat hari sejak Jumaat berhubung kes itu dan dibebaskan pada Selasa.

Suhaimi tidak bercerita lanjut butiran penyiasatan.
"Saya tidak terlibat dalam program 1AZAM. Saya telah bekerjasama dengan SPRM dan kini saya mahu membersihkan semula nama saya," katanya.

Ketika ditanya adakah beliau akan dipanggil semula oleh SPRM, katanya, "Saya telah berikan kerjasama."
Berhubung penahanannya, beliau menerima panggilan dari SPRM pada petang Jumaat supaya datang ke ibu pejabatnya di Putrajaya.

"Saya datang sendiri dan tiba pada jam 5 petang dan disoal sepanjang minggu."
Suhaimi berkata selepas ini beliau mahu memberi fokus kepada perniagaan dan tidak mahu terjebak lagi dalam pertuduhan sedemikian.

"Perniagaan saya tiada kaitan dengan kementerian atau program di bawahnya. Namun untuk mengelak sebarang tuduhan, lebih baik saya berdiam diri," katanya.

Ketika ditanya adakah dakwaan ini satu usaha mencemarkan bekas orang atasannya itu berikutan pemilihan Umno akan berlangsung tidak lama lagi, Suhaimi enggan mengulas.

Beliau mengingatkan media agar berhenti memberikan maklumat yang salah berhubung penahanannya.
Program 1AZAM adalah sebuah inisiatif kerajaan dibawah pengelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Program itu diperkenalkan pada Januari 2010 bagi memberi peluang perniagaan dan pertanian kepada golongan miskin menceburi bidang tersebut.

Jabatan Kebajikan Masyarakat telah membelanjakan RM1.35 billion bagi menyediakan bantuan kepada 473, 928 penerima seluruh negara. - 18 September, 2013. - TMI

PNB kaji struktur dana ASB2

KUALA LUMPUR - Permodalan Nasional Bhd (PNB) sedang meneliti struktur yang sesuai bagi penubuhan dana Skim Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2), sama ada berharga tetap seperti Amanah Saham Bumiputera (ASB) atau berubah-ubah, dan dilancarkan dalam tempoh terdekat.
  
"Penelitian sedang kita buat sekarang untuk memastikan produk itu lebih berkesan, kerana mengikut kajian, kebanyakan produk-produk yang harganya berubah-ubah, kurang dijual," kata Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Tan Sri Hamad Kama Piah.
  
"Tetapi kalau harga tetap, banyak yang terjual. Jadi itu lah kita sedang teliti supaya produk yang akan dilancarkan nanti lebih berkesan," katanya kepada pemberita selepas mengumumkan pengagihan pendapatan Amanah Saham 1 Malaysia, di sini hari ini.
  
Diminta mengulas bila skim ini akan dilancarkan, Hamad Kama berkata: "Yang penting kita nak buat secepat mungkin.   
"Kesesuaian waktu juga penting kerana sekiranya dana tersebut dilancarkan dalam suasana pasaran indeks yang terlalu tinggi, ia mungkin akan menjejaskan prestasi produk itu sendiri," katanya.
  
Selain itu, Hamad Kama berkata PNB juga sedang meneliti jenis-jenis pelaburan yang akan dijalankan, di samping mendapatkan kelulusan daripada pihak berwajib dan memastikan sistem komputer dapat berjalan lancar.
  
"Kita berterima kasih kepada pihak kerajaan kerana masih lagi percaya dan memberi amanah kepada PNB untuk melancarkan satu lagi produk baharu yang saiznya berskala besar," kata Hamad Kama.
  
Sabtu lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan PNB dipertanggungjawabkan untuk melancarkan ASB2 dengan suntikan sebanyak 10 bilion unit saham, bagi memantapkan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat.
  
Hamad Kama juga berkata ASB sedia ada telah menjual sebanyak 110 bilion unit.
  
"Ini menggambarkan bahawa selama ini, ASB terutamanya, telah memberi pulangan yang agak kompetitif kepada para pelabur, dan memang ramai pelabur meminta kita tambahkan saiz daripada maksimum 200,000 unit kepada paras yang lebih tinggi.
  
"Ini menunjukkan mereka berminat untuk melabur dalam ASB," katanya.
  
ASB ialah skim unit amanah yang dilancarkan pada 2 Jan 1990 dan dibuka untuk Bumiputera, dengan objektif untuk menjana pulangan jangka panjang, konsisten dan kompetitif kepada pemegang unit, selain memastikan pengekalan modal pada tahap toleransi risiko yang minimum.
  
ASB juga ialah dana ekuiti pendapatan pada harga tetap seunit, RM1.00, dan pelaburan maksimum bagi setiap individu dewasa yang layak terhad kepada RM200,000. - Bernama

Warga emas maut, isteri parah disamun

BALIK PULAU - Penjenayah tidak berhati perut apabila memecah masuk rumah dihuni sepasang suami isteri warga emas di Jalan Tun Sardon di sini.


Dalam kejadian awal pagi tadi, seorang warga emas maut manakala isterinya cedera parah akibat dipukul dengan objek keras.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Mohd Hatta Mohd Zin berkata, Chin Len Wong, 83, ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh anak lelakinya yang datang ke rumah untuk menghantar makanan.

Beliau berkata, anak lelakinya, Chin Hui Ming, 49, mendapatinya berlumuran darah serta masih bernafas pada jam 9 pagi sebelum meninggal beberapa minit kemudian.

"Mangsa dipercayai dipukul menggunakan objek tumpul di bahagian kepala sehingga menyebabkan kematiannya. Mayatnya di bawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) untuk bedah siasat," katanya kepada media di tempat kejadian.

Menurutnya, isteri mangsa, Chang Yook Kee, 71, patah tangan dan sedang menerima rawatan di HPP.

Mohd Hatta berkata, pasangan itu tinggal berdua di rumah yang dikelilingi kebun durian dan ladang getah seluas 2.83 hektar milik mereka.

"Kejadian ini dipercayai berlaku awal pagi tadi. Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan," katanya.

Menurutnya, ada beberapa kes yang sama sebelum ini apabila suspek menyasarkan rumah yang terpencil untuk menyamun.

"Polis akan menjalankan gerakan besar-besaran untuk mengesan suspek berdasarkan beberapa gambar dan foto fit yang mungkin terlibat dalam kes ini.

"Dari siasatan awal, kita percaya jenayah ini dilakukan lebih daripada seorang berdasarkan keadaan rumah yang digeledah," katanya.

Beliau berkata, jumlah kerugian belum diperolehi yang melibatkan wang tunai dan barangan kemas. - SH

Bayar Kompaun AES Segera Atau Bayar Lebih Jika Tangguh Bayaran - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Kompaun saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) akan bermula dari RM150 berkuatkuasa serta merta, kata pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Beliau berkata kadar itu akan meningkat sedikit demi sedikit sehingga maksimum RM300.
"Ia sama dengan kaedah yang digunakan oleh polis.

"Semakin lama anda menangguhkan untuk membayar kompaun itu, lebih banyak yang perlu dibayar," katanya kepad pemberita di sini Rabu.

Bagi saman yang sudah dikeluarkan, Hishammuddin berkata lebih banyak perbincangan mengenai perkara itu perlu dilakukan.
"Tindakan undang-undang ke atas pesalah masih ditangguhkan," katanya. - Mstar

Tak malukah ambil keuntungan daripada kelemahan manusia lain.

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Free Web Hosting