Wednesday 18 December 2013

Kerajaan BN diingatkan pada manifesto kurangkan tol


Anggota Parlimen Kepala Batas daripada BN R Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican hari ini mengingatkan kerajaan BN kepada akujanji mereka sendiri dalam pilihan raya berhubung kos sara hidup sebelum menaikkan kadar tol lebuh raya.

NONEKatanya, dalam akujanji itu, BN secara spesifik berjanji mengurangkan kadar tol antara bandar secara berperingkat-peringkat dalam agenda pembangunan infrastruktur bertaraf dunia dan pembangunan luar bandar.

"Cadangan kenaikan kadar tol yang dikemukakan oleh pihak kerajaan wajar dikaji semula secara menyeluruh.

"Kenaikan dalam apa sahaja kuantum, akan menyukarkan rakyat khususnya dalam bandar, dan kalangan mereka yang sentiasa perlu menggunakan laluan bertol, baik dalam bandar mahupun antara bandar." - Mkini

Tuesday 17 December 2013

'Naik atau tak, konsesi tol tetap untung berganda'

PKR membantah keras cadangan kenaikan kadar tol yang dilapor akan bermula tahun depan kerana syarikat konsesi sudah mendapat keuntungan berlipat kali ganda dan ia sentiasa bertambah setiap tahun.

"Setiap kenaikan kadar tol sebenarnya menambahkan lagi keuntungan mereka sedangkan rakyat terus terbeban dengan tekanan ekonomi," kata pengarah strateginya Rafizi Ramli (kanan).

Lima belas lebuh raya, kebanyakannya sekitar Kuala Lumpur, hari ini dilaporkan akan menaikkan kadar tol antara 50sen hingga RM2 bermula 1 Januari tahun depan.

Dalam kenyatannya hari ini, Rafizi berkata, keuntungan itu ditunjukkan dalam rekod kewangan syarikat masing-masing antara ratusan juta hingga berbilion ringgit.

Menurutnya, keuntungan bersih sebelum cukai (dengan caj susut nilai) PLUS Berhad sebanyak RM2.515 bilion bagi tahun kewangan 2011 dan perincian kos 2010.

Manakala, Lebuh Raya Shah Alam (Kesas), menurutnya, mencatatkan keuntungan berganda terkumpul (CAGR) sehingga 12 peratus antara tahun kewangan 2008 hingga 2012 seperti dilaporkan kajian bank.

Keuntungan bersih sebelum cukai (dengan caj susut nilai) pula RM180 juta bagi tahun 2013, kata anggota Parlimen Pandan itu lagi.

Justeru katanya, walaupun tol tidak dinaikkan, jumlah kutipan konsesi terlibat tetap naik ekoran margin keuntungan yang kekal tinggi kerana peningkatan kenderaan di lebuh raya sehingga 8.1 peratus.

"Dalam keadaan kos operasi sudah pun rendah (bagi sesetengah lebuh raya, kos penyenggaraan tidak sampai 10 peratus pun dari kutipan tol), keuntungan yang dinikmati antara yang tertinggi berbanding industri-industri lain.

"Oleh sebab itu, sebarang kenaikan kadar tol menghina rakyat pada kala kerajaan dan pemegang konsesi bermewah dengan keuntungan yang sudah pun terlalu tinggi," katanya lagi.

Kembali ke kantung Putrajaya
Sementara itu, Rafizi juga berkata, pampasan yang dibayar kerajaan kepada syarikat konsesi sebenarnya "bukanlah satu bentuk subsidi yang diwar-warkan".

Ini kerana, katanya, subsidi bermakna belanja yang dikeluarkan kerajaan untuk menampung kos sesuatu barangan atau perkhidmatan supaya harganya dikekalkan pada paras lebih rendah.

"Dalam kes kenaikan kadar tol, jumlah kos yang ditanggung pada kadar tol sekarang pun sudah terlalu rendah hingga memberikan keuntungan yang terlampau tinggi kepada pemegang konsesi," katanya.

"Oleh itu, sebarang kenaikan kadar tol sebenarnya sama dengan kerajaan mencukai rakyat dengan cukai tambahan kerana keuntungan syarikat-syarikat pemegang konsesi yang dimiliki kerajaan ini, akhirnya kembali ke kantung Putrajaya untuk diborosi oleh Datuk Seri Najib Razak (atas) dan kabinetnya." - Mkini

Tuduh Syiah: Mat Sabu akan saman Zahid Hamidi


Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu akan memfailkan saman ke atas Datuk Seri Zahid Hamidi ekoran kenyataan menteri dalam negeri itu di Perhimpunan Agung Umno lalu yang mendakwa beliau berfahaman Syiah.

Mohamad berkata tuduhan Zahid yang juga naib presiden Umno itu adalah fitnah terhadap dirinya.

"Pada masa ini peguam saya akan memfailkan saman ke atas Datuk Seri Zahid Hamidi sahaja kerana bagi saya beliau adalah pencetus kepada tuduhan fitnah ke atas saya itu.

"Dan saya percaya tuduhan fitnah yang dilemparkan oleh beliau ke atas saya adalah didasari oleh niat jahat bagi menjatuhkan maruah dan integriti saya.

"Insya-Allah segala proses saman itu kini saya serahkan semuanya kepada kebijaksanaan para peguam saya," katanya dalam sidang medianya petang ini.

Mohamad mendakwa ucapan Ahmad Zahid pada 7 Disember lalu menunjukkan menteri dalam negeri itu menyalahguna kuasa apabila didakwa telah memberi kuasa kepada Jakim untuk mengambil tindakan ke atasnya.

"Saya yakin ini satu bentuk penyalahgunaan kuasa kerana smua tahu bahawa Jakim bukan terletak di bawah bidang kuasa KDN, maka atas dasar apakah KDN boleh dengan secara sewenang-wenang memberi kuasa kepada Jakim mengambil tindakan ke atas saya," katanya.

Sehubungan itu, Mohamad berkata beliau akan membuat laporan polis terhadap Zahid berhubung kenyataan yang dianggapnya " tidak bertanggungjawab" dan berharap polis bersikap profesional menyiasat kenyataan menteri itu tanpa rasa gentar dan memihak.

Mengulas berhubung tindakan undang-undang itu, Mohamed Hanipa berkata pihaknya akan menghantar notis penarikan balik dan permohonan maaf kepada bekas tahanan ISA yang mesra dipanggil 'Mat Sabu' dalam minggu ini.

"Kita beri masa tiga hari. Kita rasa dia sudah bersedia. Kita hantar notis tuntutan. Kita tengok respon. Mana tahu (dalam tempoh itu) kalau Allah dia nak minta maaf.

"Mat Sabu nak berjumpa dia (Zahid) di mahkamah. Datuk Seri Zahid berseorang," tegas pengamal undang-undang itu.

Turut hadir dalam sidang media itu, tiga peguamnya iaitu Mohamed Hanipa Maidin, Nasar Khan dan Aminuddin Zulkifli. - Mkini

Azean Irdawaty meninggal dunia

PRIMODANA  filem Melayu, Azean Irdawaty, 63 tahun meninggal dunia di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) Petaling Jaya Selangor malam ini.

Allahyarham menderita sejak lima tahun lalu akibat penyakit tumor dan lymphedema yang dihidapinya.

Difahamkan, pelakon itu meninggal dunia kira-kira jam 8.30 malam di depan suaminya. Khairil Anwar dan juga anak-anak.

Ini disahkan oleh Pengarang hiburan Berita Harian, Hanizam Abdullah atau dikenali sebagai Kak Cham menerusi Twitternya sebentar tadi.

Allahyarham meninggalkan suami, Khairil Anwar Z.M Rashidi dan tiga orang anak, Khaeryll Benjamin, Elza Irdalynna dan Inessa Irdayanty. - SH

Monday 16 December 2013

Harun, pengikut didakwa


KUANTAN 16 Dis. - Ketua ajaran sesat ‘Tuhan Harun’, Harun Mat Saat dan tiga pengikutnya dihadapkan ke Mahkamah Tinggi di sini hari ini berhubung tuduhan membunuh Ketua Penolong Pengarah (Penguat Kuasa), Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Ahmad Raffli Abd. Malek, bulan lalu.

Seorang daripada pengikut ajaran sesat itu, Sumustapha Suradi, 39, menghadapi tuduhan membunuh Ahmad Raffli bersama-sama dua lagi yang masih bebas di rumah mangsa di No. 7, Lorong IM 2/29, Bandar Indera Mahkota di sini kira-kira pukul 1.50 petang, 10 November lalu.

Tertuduh dari Kampung Sibugal Besar, Sandakan, Sabah didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman mati mandatori.
Dia mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Datuk Ab. Karim Ab. Rahman.

Sementara Harun, 47; isteri ketiganya, Azida Mohd. Zol, 30, dan seorang lagi pengikutnya, Shaizral Eddie Nizam Shaari, 37, didakwa bersama-sama Sumustapha dan dua lagi yang masih bebas untuk bersetuju antara satu sama lain melakukan konspirasi jenayah yang membawa kepada pembunuhan Ahmad Raffli.
Kesalahan itu yang didakwa dilakukan pada masa, tarikh dan tempat yang sama yang bertentangan dengan Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun tersebut yang turut memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Ketiga-tiga mereka juga membuat pengakuan tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soib @ Hamid manakala keempat-empat tertuduh diwakili peguam Hermes Media Putra Ibrahim.

Harun yang mengunakan kerusi roda kerana diserang angin ahmar dilihat tidak boleh bercakap dan hanya mengunakan isyarat tangan untuk membuat pengakuan tidak bersalah.
Dalam pada itu, Hermes Media Putra meminta pihak mahkamah membenarkan Harun untuk menjalani rawatan berkala di hospital kerana penyakit angin ahmar.

‘‘Harun telah mengikuti rawatan akibat penyakit ini sejak Julai lalu di Hospital Sungai Buloh. Saya harap mahkamah dapat benarkan anak guam saya terus menjalani rawatan,’’ katanya.
Hakim Ab. Karim kemudian membenarkan permohonan itu dan mengarahkan laporan perubatan Harun dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk memudahkan dia menjalani rawatan di situ.
Beliau menetapkan sebutan semula kes pada 28 Januari depan.

Pertuduhan yang dihadapi tidak membenarkan kesemua tertuduh dibebaskan dengan jaminan.
Terdahulu di Mahkamah Majistret, kesemua tertuduh didakwa atas tuduhan sama di hadapan Majistret Noor Zaihan Mohamad Ali yang kemudiannya membenarkan kes itu dipindahkan serta-merta ke Mahkamah Tinggi.

Dalam pada itu, tempoh tahanan reman sembilan lagi pengikut ajaran sesat itu dilanjutkan sehingga 23 Disember ini bagi membolehkan pihak polis menjalankan siasatan lanjut terhadap kes ini.
Memetik laporan akhbar sebelum ini, dalam kejadian pembunuhan tersebut, Ahmad Raffli maut ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki tidak dikenali di hadapan rumahnya.

Ekoran kejadian itu, polis pada 15 November lalu telah mengedarkan 27 keping gambar ketua dan pengikut ajaran sesat Tuhan Harun yang dikehendaki bagi membantu siasatan kes pembunuhan tersebut.
Pada 20 November, Harun berjaya diberkas polis bersama Azida dan pemandunya, Nor Hairi Harun, 41, dalam serbuan ke atas sebuah rumah di Bandar Baru Tangkak, Johor, kira-kira pukul 3.30 petang.

Susulan penahanan itu, polis turut merampas sepucuk pistol yang dipercayai digunakan dalam kejadian tembakan tersebut. - Utusan

Pengurus, tiga pengawal keselamatan didakwa membunuh


KUALA LUMPUR 17 Dis. - Seorang pengurus dan tiga pengawal keselamatan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang pemuda yang dipercayai mencuri wang tabung masjid, tiga minggu lalu.

Mohamad Yusof Mohamad, 39; Mohd. Aswendy Majon, 26; Iweldo Putra, 19; dan Pondri Neriko, 20, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Mohamed Shah Reza Fauzi @ Mohamed, 20, di tangga tepi pagar Masjid Al Azim, Jalan Pandan Indah, Ampang, dekat sini kira-kira pukul 5 pagi, 3 Disember lalu.

Majistret Ayuni Izzaty Sulaiman menetapkan 17 Februari depan untuk sebutan semula kes itu sementara menunggu laporan forensik dan kimia. - UTUSAN

Aktivis Saudi dipenjara 4 tahun, 300 sebatan


RIYADH - ARAB SAUDI. Mahkamah di Arab Saudi menjatuhkan hukuman empat tahun penjara dan 300 sebatan terhadap seorang aktivis selepas didapati bersalah kerana menuntut demokrasi di negara itu, menurut Persatuan Hak Asasi Awam dan Politik (ACPRA).

Jurucakap ACPRA memberitahu bahawa Omar al-Saeed yang tidak diwakili peguam ketika dibicarakan adalah ahli keempat persatuan itu yang dihukum penjara pada tahun ini.

Sementara itu, laporan dipetik dari Reuters, Pemerhati Hak Asasi Manusia di Timur Tengah, Adam Coogle menyifatkan ia sebagai satu lagi contoh keangkuhan pihak berkuasa Saudi.

"Mereka seperti tidak boleh menerima sebarang kritikan terhadap dasar negara atau pencabulan hak asasi manusia di negara tersebut," katanya. - SH

Twitter Delicious Facebook Digg Stumbleupon Favorites More

 
Free Web Hosting